RSS

Wednesday 21 March 2012

Bingkisan terakhir


Lima hari berlalu..
Aku masih belum mampu menerima hakikat itu. Setiap kali aku pujuk hati aku untuk kuat dan sabar , semakin kuat juga air mata ini berlinangan di pipi. Saban malam , aku abadikan senduku di balik curahan ayat-ayat suci yang aku lafaskan di tirai bibir , namun , ianya masih tidak mampu mengubati kesayuan hati ini. Seolah-olah , ianya lansung tiada penghujungnya.
         Aku tetap menagih cinta, rindu , kasih dan sayang.. Meski aku tahu , ianya tidak akan membawa sebarang makna sekalipun. Punah ranah jiwaku tatkala kenangan indah itu menerjah ke lensa akal dan mata hatiku. Ya Allah , aku tidak mampu! Lemahnya hambaMU ini. Sanggup memperbodohkan diri demi menagih cinta yang belum pasti menjadi milik!
“Awak, awak tunggu saya. Saya akan datang dan ambil awak sebagai hak saya yang sah suatu hari nanti..” Tutur kata ini semakin meremukkan lagi hati ku. Di mana janji itu? Pergi.. Ia pergi tanpa menoleh sekilas pun!
“Nanti, kita beli rumah. Kita sama-sama bina hidup yang bahagia..”
Ya Allah , kata-kata ini menjadi pendorong hatiku untukku terus merayu..merayu..dan terus merayu. Aku sisihkan rasa egoku demi cinta yang sudah tertanam dan berakar umbi di denai hatiku selama berkurun lamanya. Tidak pernah walau sedetik pun aku terfikir untuk melupakan dia dan janji-janji yang telah terpatri antara kami. Aku anggap cinta antara kami adalah anugerah yang terindah dalam hidupku!
         Namun, hari demi hari aku menunggu panggilannya. Aku tetap bersabar. Kenangan antara kami semakin subur di dalam hati. Pada Allah , aku mohon ampun.. saban hari! Ya Allah, ampunkan dosaku kerana aku tidak mampu melepaskan diriku dari cengkaman cinta ini. Ampunkan dosaku kerana merindui lelaki ajnabi yang belum pasti menjadi milikku.
                   Batas hari semakin mengendur buatku. Tawaduk yang tidak terhingga. Terpaksa aku rahsiakan gejolak jiwa yang meratah hidupku daripada keluarga, kawan-kawan , mahupun dia. Pernah aku menduga dia, “ Kalau saya ada satu hari lagi untuk hidup , adakah awak akan datang pada saya semula? Tidakpun, angkatlah panggilan daripada saya.” Mesej terakhirku untuk si dia.
         Namun, sepi. Tetap tiada jawapan. Dan aku , terus merenung skrin telefon..menunggu dan menunggu. Sesungguhnya , kata-kataku itu bukan gurauan. Jauh sekali daripada menarik perhatiannya untuk kembali padaku. Akan tetapi, aku benar-benar maksudkannya!
         Bingkisan terakhirku. Lewat malam ini , hatiku hancur tidak terperi. Seiring dengan aliran darah pekat mengalir perlahan tiada hentinya dari corong hidung ku. Ya Allah , kuatkanlah hatiku. Sesegera mungkin aku membersihkan darah itu agar tiada sesiapa yang mengetahui. Masaku kian suntuk ku rasakan. Setiap detik nadiku berdetak, aku seakan menyedari akan masaku kian hampir. Aku menapak dengan perlahan menghampiri ibu dan ayah. Wajah mereka aku ratap penuh makna. Aku cium dahi mereka dan aku bersimpuh di kaki mereka.
“ Ampunkan , aku ibu..ayah. Halalkan titisan susumu yang mengalir di segenap urat nadiku , ibu. Halalkan setiap jerih perihmu mencari rezeki untuk mendewasakan aku , ayah .” Mereka keliru. Tidak mengerti akan tindakan anehku. Namun, mereka mengangguk. Mungkin , mereka sudah sedia maklum akan sikapku yang sering meminta maaf kepada mereka sebelum aku masuk tidur. Tetapi, malam ini ayatku bergetar di bibir. Penuh makna. Dan, inilah sekian akhirnya! Terlakar jua senyuman di jiwa remukku akhirnya.
         Aku menguatkan semangatku untuk mencoret lagi. Ini mungkin coretan terakhir ku. Linangan air mata ini tiada sudahnya. Dan aku mengerti, harga setitik air mataku adalah anugerah yang terindah yang Allah  pinjamkan padaku sebelum Allah ambil segala-galanya milikku. Dan , kepadaNYA jualah aku akan dikembalikan.
“ Awak , ampunilah saya. Segala silap saya selama bersama dengan awak. Halalkan segalanya apa yang telah saya ambil daripada awak. Izinkanlah saya membawa sekeping jiwa yang penuh cinta dan kasih ini pergi bersama saya. Saya sayangkan awak, sehingga akhir hayat saya.....”

p/s :: Cinta Allah Cinta Abadi,
         Cinta manusia hanya sementara.